Pemandu kereta ditahan disyaki sengaja langgar penunggang motosikal
SHAH ALAM – Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis selepas disyaki sengaja melanggar seorang penunggang motosikal dalam satu kejadian yang turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung insiden yang berlaku di Taman Sentosa, Klang, kira-kira pukul 10 malam, semalam.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.
“Suspek berjaya ditahan sekitar pukul 1.15 pagi dan semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga 30 April ini.
“Pegawai penyiasat sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang penunggang motosikal dilanggar oleh sebuah kereta.
Selepas kejadian, mangsa dilihat bangun dan bergerak ke bahu jalan.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 50 tahun menunggang motosikal dalam keadaan berhati-hati bagi mengelak permukaan jalan yang tidak rata.
Bagaimanapun, suspek beranggapan mangsa menunggang secara berbahaya hingga boleh menyebabkan kemalangan.
“Suspek telah membunyikan hon sebagai tanda amaran, namun tindakan itu tidak disenangi mangsa yang kemudiannya mengejar kereta suspek sehingga berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak.
“Dalam kejadian tersebut mangsa dikatakan telah menghentak cermin hadapan kereta suspek menggunakan topi keledar hingga menyebabkan keretakan, suspek kemudiannya bertindak melanggar mangsa sehingga terseret di bawah kenderaan,” katanya.
Mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan berada dalam keadaan stabil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








