
Kaitkan polis dengan PRK Ayer Kuning, Wan Rohaimi buat tuduhan bacul, tak berasas – UMNO Kelantan
KOTA BHARU – UMNO Kelantan menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohaimi Wan Daud terhadap Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara sebagai dakwaan yang bersifat bacul dan amat berat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, tindakan Wan Rohaimi yang mengaitkan kenyataan pihak polis dengan motif politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, adalah tuduhan melulu yang sama sekali tidak berasas.
“Beliau menuduh Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara sengaja mengeluarkan kenyataan negatif terhadap negeri ini semata-mata untuk tujuan politik PRK Ayer Kuning di Perak. Ini satu tuduhan yang berat terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Rohaimi dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 22 April lalu dipetik mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Kelantan berkaitan penglibatan pempengaruh usahawan kosmetik dalam sindiket dadah.
“Saya tertanya-tanya Ketua Polis ni nak menjual cerita sensasi ataupun nak menjadi penguat kuasa atau penjawat awam yang mempunyai disiplin tentang data?” katanya dalam sidang itu.
Selain itu, beliau turut merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan yang disifatkannya seolah-olah berniat memburukkan negeri Kelantan dengan mengungkit data lama menjelang pilihan raya.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan menegaskan, Ketua Polis Negeri Kelantan serta seluruh pasukan polis merupakan penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan dan tugas utama mereka adalah menjaga keselamatan negara.
“Tidak wajar mempertikaikan kenyataan mereka yang dibuat berdasarkan siasatan dan maklumat rasmi. Kita perlu memelihara integriti pasukan keselamatan, bukan membina persepsi negatif terhadap mereka,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencabar Wan Rohaimi agar memohon maaf secara terbuka di luar Dewan Undangan Negeri Kelantan, tanpa berselindung di sebalik imuniti yang diberikan kepada dewan.
Tegas Ahmad Jazlan lagi, tuduhan seperti itu hanya mencalarkan keharmonian antara agensi penguatkuasaan dan pentadbiran kerajaan hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















