Berita Semasa

Cadangan semak semula tarif air sedang dikaji – Nik Nazmi

KUALA LANGAT – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang mengkaji cadangan semakan semula tarif air supaya dapat memberi pulangan modal setimpal dengan kos operasi yang dibelanjakan operator air seluruh negara.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Persekutuan sedar bahawa kemampanan kewangan operator air memainkan peranan penting dalam mutu penyampaian perkhidmatan bekalan air.

“Kami sedia maklum bahawa terdapat negeri-negeri yang masih menggunakan tarif yang lama dan tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu dan perkara ini sedang dalam tindakan NRECC.

“Pada masa yang sama, kami akan memastikan supaya sebarang kenaikan tarif tidak akan membebankan golongan yang kurang berkemampuan,” kata Nik Nazmi hari ini selepas menghadiri majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di tapak projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau di Kampung Seri Cheeding, di sini yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Nik Nazmi memberitahu, bahawa Selangor adalah antara negeri yang terbaik selain Johor dalam pengurusan air tanpa hasil (NRW) iaitu di bawah 30 peratus.

Sementara itu, Amirudin berkata, proses penggantian paip yang dijalankan sejak 2016 serta kawalan kebocoran dan kecekapan operasi berjaya mengurangkan NRW di Selangor.

Show More

Related Articles

Back to top button