Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu dibatalkan – Nik Nazmi
PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut.
Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan itu yang melibatkan tambakan di Pulau Tioman adalah selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.
“Keputusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemampanan dan menjamin kesejahteraan negara.
“Pihak kementerian telah mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut dan juga merupakan tarikan utama ke Pulau Tioman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Pulau Tioman yang diwartakan sebagai Taman Laut turut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar.
“Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, pembinaan lapangan terbang baharu tersebut akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan.
“NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar juga telah selesai melaksanakan proses pameran awal bagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi “Cadangan Pembangunan Sebuah Lapangan Terbang Baharu di Pulau Tioman untuk Operasi Penerbangan Kod 4C Yang Berkeluasan 460.50 Ekar, Tioman, Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur”.
“Laporan EIA tersebut telah dipamerkan selama 30 hari bermula daripada
21 Jun 2023 hingga 20 Julai lalu. Orang awam telah mengemukakan ulasan awam daripada 21 Jun 2023 sehingga 4 Ogos lalu (45 hari).
“Sehingga 4 Ogos lalu, sejumlah 1,412 ulasan awam telah diterima. Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC) yang telah diadakan pada hari ini, kementerian mendapati bahawa cadangan itu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






