Pemilihan PKR: Nik Nazmi tetap optimis walau kalah di peringkat cabang
PETALING JAYA – Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad tetap optimis mampu mempertahankan jawatan pada Pemilihan PKR 2025, biarpun tewas dalam pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa, baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengekalkan pendirian mempertahankan kedudukan itu.
“Sebelum ini saya sudah maklumkan akan mempertahankan jawatan… insya Allah, kita tetap dengan keputusan itu (bertanding jawatan Naib Presiden PKR).
“Jika ada pengumuman besar, saya akan maklumkan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja pemasangan panel solar di gedung beli-belah IKEA Damansara, dekat sini hari ini.
Baru-baru ini, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa tewas kepada pencabarnya, Datuk Afdlin Shauki dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.
Nik Nazmi meraih 563 undi manakala pesaingnya memperoleh 631 undi.
Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi membincangkan isu berbangkit dalam proses pemilihan parti, esok.
Difahamkan antara perkara yang akan dibincangkan ialah kekalahan beberapa pimpinan parti yang memegang portfolio menteri dan timbalan menteri dalam pemilihan peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang.
Pemilihan peringkat Cabang baru-baru ini menyaksikan beberpaa nama besar tewas dalam persaingan masing-masing.
Antaranya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim tewas dalam persaingan jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, manakala Timbalan Menteri Perpaduan K. Saraswathy tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Bukit Bintang.
Selain itu, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan, turut tewas dalam perebutan di cabang masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






