BERITA SEMASAPMX

Tarif baharu AS: Masih ada ruang untuk rundingan – PM Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan masih terdapat ruang untuk perbincangan dan rundingan berhubung pengenalan tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru-baru ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan pimpinannya tidak akan mengambil ringan terhadap pengumuman tarif berkenaan, sebaliknya akan mengambil pendekatan yang sederhana untuk berunding.

“Kita tidak boleh pandang ringan, kita tahu ini suatu yang agak aneh sebab (Amerika Syarikat) antara negara yang paling kuat mendukung semangat perdagangan bebas, kini mengambil langkah berbeza,” katanya ketika berucap semasa perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri menyeru negara-negara Asean untuk meningkatkan kerjasama serantau, memandangkan rantau Asia Tenggara merupakan kawasan yang mempunyai potensi besar dalam memacu pertumbuhan ekonomi dunia.

Justeru itu, Anwar berkata, beliau bersama menteri berkaitan akan menghubungi negara-negara Asean yang lain untuk menyuarakan pendirian masing-masing, di samping membentuk satu kelompok atau pakatan besar bagi menangani isu tarif tersebut.

“Kita harus berdiri tegap bersama sebagai Asean dengan jumlah penduduk 640 juta dan kekuatan ekonomi antara yang utama di dunia. Rantau ini juga dianggap antara paling aman dan pesat membangun di dunia,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, selain tarif, beliau turut berkesempatan membincangkan isu lain seperti Gaza dan Myanmar dalam perjumpaanya dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang hadir untuk makan malam sempena Aidilfitri baru-baru ini.

“Saya juga sempat berbincang panjang dengan perdana menteri Vietnam dan sebelum itu menghubungi pemimpin Filipina, Brunei, Laos dan Thailand untuk menyelaraskan pendirian masing-masing,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button