KPT arah kelas fleksibel untuk pelajar terkesan kebakaran saluran paip gas Putra Heights
SUBANG JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mengambil pendekatan fleksibel dan menyeluruh bagi memudahkan urusan pelajar yang terkesan akibat tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, baru-baru ini.
Tindakan proaktif itu termasuk pendekatan menyeluruh meliputi bantuan kewangan, fleksibiliti akademik dan sokongan psikososial yang sewajarnya.
KPT dalam kenyataan di Facebook berkata, kementerian itu telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM2,000 kepada setiap pelajar IPT yang terlibat menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).

“Bantuan itu adalah bagi membantu mereka menampung kerugian peranti seperti komputer riba, tablet dan bahan akademik lain yang musnah dalam insiden itu.
“Seramai 85 pelajar daripada Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti telah dikenal pasti dan menerima bantuan, sama ada secara terus ke akaun bank atau disampaikan secara tunai kepada pelajar yang kehilangan MyKad dan kad bank,” menurut hantaran itu.
Bagi memudahkan proses pendaftaran, pengesahan dan penyaluran bantuan, kaunter operasi YPS turut dibuka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr. Azlinda Azman berkata, KPT telah mengarahkan semua UA, Politeknik dan Kolej Komuniti memberikan fleksibiliti termasuk melaksanakan kuliah secara dalam talian serta menyediakan kelas tambahan kepada pelajar yang tercicir susulan tragedi itu.
“Kita tidak mahu tragedi ini menyebabkan sebarang kelewatan atau mengganggu fokus mereka dalam pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan selepas menyerahkan bantuan kewangan kepada pelajar terjejas, di PPS Masjid Putra Heights semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa IPT perlu memberi kelonggaran pendaftaran kepada pelajar yang belum dapat melapor diri kerana masih terkesan secara fizikal atau emosi.
Dalam masa sama, KPT akan bekerjasama dengan Kementerian Digital untuk mengenal pasti pelajar yang mengalami kerosakan peranti agar bantuan yang disalur tidak bertindih dan sampai kepada yang benar-benar memerlukan.
Dalam memastikan kesejahteraan menyeluruh pelajar, KPT turut mengaktifkan sokongan psikososial menerusi khidmat kaunseling yang disediakan oleh kaunselor berdaftar dan pakar perubatan universiti.
“Kami sedar walaupun pelajar ini kembali ke kampus, ada antara mereka mungkin masih terkesan emosi kerana tragedi ini.
“Oleh itu, semua universiti diminta bersiap siaga dengan pasukan sokongan psikologi,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








