BERITA SEMASASUKAN

Atlet boling negara terima insentif RM90,000 dari MSN

KUALA LUMPUR – Skuad boling negara diraikan Majlis Sukan Negara (MSN) melalui insentif khas berjumlah RM90,000 susulan pencapaian cemerlang pasukan pada Kejohanan Piala Dunia Boling Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong, awal bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam kenyataan di Facebooknya berkata, walaupun penyertaan dalam Piala Dunia IBF tidak tersenarai oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), insentif itu diberikan sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangan skuad boling yang terus mengharumkan nama negara.

Katanya, antara penerima insentif itu ialah Natasha Roslan yang menjadi tumpuan selepas mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara menjuarai acara individu wanita sejak 53 tahun lalu.

Kemenangan itu melayakkan Natasha menerima insentif RM20,000.

Hannah bersama pasukan boling negara yang mengharumkan nama negara pada Kejohanan Piala Dunia Boling Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong, awal bulan ini.

“Skuad lelaki pula yang diwakili Muhamad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Timmy Tan yang membawa pulang RM40,000 selepas merangkul gelaran juara acara berpasukan.

“Rafiq turut menerima RM10,000 berikutan kejayaannya menduduki tempat kedua acara individu lelaki, manakala pasukan wanita yang terdiri daripada Natasha, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim memperoleh RM20,000 selepas muncul naib juara acara berpasukan,” katanya.

Kejayaan itu melengkapkan senarai kejuaraan Natasha, termasuk gelaran juara individu wanita di Kejohanan Boling Dunia 2023 di Kuwait dan juara berpasukan dunia di Las Vegas pada 2017.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button