SUKAN

Jersi baharu Harimau Malaya guna teknologi ultraweave revolusioner Puma

KUALA LUMPUR – Jenama sukan antarabangsa Puma Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini melancarkan jersi baharu untuk pasukan Harimau Malaya yang lebih segar dan menarik.

Menurut Pengarah Urusan PUMA Asia Tenggara dan Oceania, Sanjay Roy, jersi baharu itu direka dengan warna kebangsaan ikonik pasukan iaitu kuning dan hitam yang melambangkan kebanggaan dan daya tahan.

“Jersi ini menampilkan teknologi ultraweave revolusioner Puma, jersi ini direka bentuk untuk memberikan keselesaan ringan, fleksibiliti dan ketahanan, membolehkan pemain beraksi pada tahap tertinggi, sama ada di gelanggang tempatan atau pentas global.

“Kerjasama dengan FAM ini menandakan satu peristiwa penting bagi Puma kerana kami dapat mengembangkan kehadiran kami dalam bola sepak Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Puma dan FAM memeterai kerjasama empat tahun pada majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Puma Flagship Store di Sunway Pyramid Mall di sini hari ini.

Yang hadir sama Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Pengurus Negara Puma Malaysia, Steven Tan.

Dalam pada itu Sanjay berkata, kerjasama itu mengukuhkan peranan Puma sebagai rakan pakaian rasmi Harimau Malaya dan mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk memajukan bola sepak di Malaysia.

Selain membantu pemain di atas padang, katanya, kerjasama itu memberi penekanan dalam mendekatkan sukan itu kepada orang ramai.

Sementara itu Hamidin berkata, kerjasama dengan Puma itu menandakan satu lembaran baharu dan menarik untuk bola sepak Malaysia.

“Kepakaran mereka dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi tetapi juga membantu memupuk hubungan yang lebih mendalam di antara pasukan dan para penyokong.

“Bersama-sama, kita menyasarkan untuk mencipta budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia, memberi inspirasi kepada kedua-dua pemain dan peminat sambil kita meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Jersi FAM x Puma edisi terhad kini boleh dibeli di kedai Puma terpilih di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button