Ops Sky: SPRM akan panggil lebih pegawai bank bantu siasatan
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lebih ramai pegawai bank bagi membantu siasatan Op Sky.
Menurut Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dijangka memanggil antara 15 hingga 20 pegawai bank untuk membantu siasatan berhubung kes itu, lapor BH Online.
Pada masa yang sama, Azam Baki berkata, pihaknya juga sedang dalam proses melakukan ‘money trail’ terhadap akaun-akaun bank tambahan yang disyaki terbabit dalam kesalahan rasuah dan juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“SPRM juga tidak menolak berkemungkinan akan ada lagi perintah pembekuan dilakukan terhadap akaun-akaun bank itu,” katanya, hari ini.
Mengenai tangkapan terbaharu empat pegawai bank kelmarin, beliau berkata, pihaknya akan mengekstrak data-data berkaitan permohonan pinjaman daripada sistem perbankan membabitkan empat pegawai bank terbabit bagi membantu siasatan.
“Selain daripada itu, pihak SPRM didalam proses mendapatkan dokumentasi pinjaman daripada institusi perbankan,” katanya lagi
Semalam, empat lagi pegawai bank ditahan SPRM dalam siasatan kes membabitkan sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.
Setakat ini, SPRM sudah menahan 16 individu selepas serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi melalui Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







