‘Bird strike’ punca pesawat jet pejuang F/A-18D Hornet TUDM terhempas
KUANTAN – Nahas yang melibatkan jet pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan, 21 Ogos lalu adalah disebabkan pelanggaran dengan seekor burung bangau (bird strike) seberat kira-kira satu kilogram.
Menurut Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, dapatan Lembaga Siasatan yang ditubuhkan mendapati pelanggaran burung itu menyebabkan kegagalan enjin pesawat berfungsi.
BACA JUGA:
Pesawat FA-18D TUDM terlibat kemalangan
PM mahu laporan insiden jet pejuang TUDM dibentang di kabinet
TUDM gantung operasi tujuh pesawat Hornet susulan insiden
Nahas Hornet TUDM: Enjin pesawat dihantar ke Butterworth
Jelas beliau, pelanggaran berlaku ketika pesawat baru mula terbang pada ketinggian hampir 10 meter.
Tambahnya, pasukan penyiasat turut menemukan cebisan bangkai burung itu tersangkut pada enjin pesawat.
“Kejadian itu menyebabkan jet pejuang hilang kuasa dan juruterbang mengambil tindakan menggunakan kerusi lenting pada ketinggian kira-kira 50 meter untuk melompat keluar sebelum pesawat terhempas,” katanya dalam satu sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.
Nahas kira-kira pukul 9.05 malam itu menyebabkan juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor pesawat, Kapten Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28, tercedera.
Ketika kejadian, pesawat sedang melakukan latihan terbang malam dan jet itu musnah sepenuhnya selepas terhempas.
Muhamad Norazlan berkata, lembaga siasatan itu disertai tenaga pakar TUDM dengan bantuan Polis, Jabatan Kimia, Tentera Laut Amerika Syarikat dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).
“Hasil siasatan awal memberi keyakinan bahawa kemalangan pesawat berpunca daripada bird strike ketika fasa berlepas.
“Penemuan itu disokong analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV), data Deployable Flight Incident Recorder System (DFIRS), analisis teknikal serta siasatan Jabatan Kimia.
“Jenis burung yang dilanggar dikenal pasti oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebagai bangau, yang dikesan berada di landasan sebelum kejadian,” katanya.
Menurutnya, susulan laporan pengesahan bahawa nahas disebabkan terlanggar burung dan bukan berpunca daripada masalah enjin, TUDM serta-merta membatalkan penggantungan operasi jet pejuang F/A-18D Hornet dan pesawat itu dibenarkan terbang semula.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







