‘Saya tidak perlu bercuti ketika siasatan dijalankan’ – Azam Baki
SEPANG – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak perlu bercuti ketika siasatan ke atasnya dijalankan oleh jawatankuasa khas kerajaan.
Beliau berkata, desakan yang dibuat beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen itu bukan satu isu bagi dirinya.
“Saya tak perlu bercuti, sebelum ini ada juga individu yang disiasat di mahkamah, namun masih bertugas.
“Itu terpulang kepada mereka (membuat desakan). Saya tidak perlu bercuti,” katanya.
Azam Baki berkata demikian dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI di Kampung Sungai Buah, Dengkil, dekat sini hari ini.
Dalam sidang media sama, Azam Baki mengulangi kesediaannya untuk disiasat oleh jawatankuasa khas berkenaan.
“Saya bersedia pada bila-bila masa dan jika dipanggil, saya akan menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan. Saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya lagi.
Laporan media semalam menyebut, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Moktar dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Azam.
Selain Mohd Dusuki, jawatankuasa atersebut turut dianggotai oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Jawatankuasa itu akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.
Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














