Remaja perempuan hilang ditemui selamat di masjid
SEPANG – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang hilang sejak Jumaat lalu ditemui selamat di sebuah masjid di Ampang Jaya, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, remaja itu ditemui pada pukul 3.05 pagi oleh pihak polis sebelum diserahkan kepada keluarganya.
“Ibu mangsa membuat laporan polis pada Jumaat selepas anaknya tidak pulang ke rumah sejak keluar pada petang Khamis.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terbabit dalam kes ini dan mangsa kini selamat bersama keluarganya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Difahamkan, laporan kehilangan itu dibuat oleh ibu remaja berkenaan selepas dia tidak pulang ke rumah keluarga mereka di Taman Bandar Bukit Puchong, Putra Perdana, Sepang.
Kes tersebut pada mulanya diklasifikasikan sebagai orang hilang sebelum remaja itu berjaya dijejaki hasil maklumat orang awam.
“Penemuan mangsa adalah hasil kerjasama erat komuniti yang prihatin dan bertindak pantas menyalurkan maklumat. Sokongan mereka amat dihargai,” kata Shan Gopal.
Remaja terbabit adalah pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di kawasan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













