BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tiga pegawai kanan Imigresen, pengarah syarikat ditahan SPRM berhubung salah guna Visa

JOHOR BAHRU – Empat individu termasuk seorang pegawai kanan Imigresen Johor ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan penyalahgunaan permohonan visa asing bernilai RM1.2 juta.

Tiga suspek termasuk pegawai kanan Imigresen Johor dan seorang wanita, manakala individu keempat dipercayai seorang pengarah syarikat yang terbabit dalam pembekalan peralatan pejabat termasuk peralatan elektrik dan elektronik, alat keselamatan, perkhidmatan pembersihan pejabat dan bangunan.

Difahamkan, pegawai imigresen wanita berusia 40 tahun itu ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan, manakala tiga lagi suspek termasuk ahli perniagaan dijangka direman, hari ini.

Pegawai imigresen itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, manakala pengarah syarikat ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Negeri Sembilan.

Pengarah SPRM Negeri Johor, Datuk Azmi Alias mngesahkan kes disiasat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram SPRM Putrajaya.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, suspek didakwa bersekongkol dengan ejen pengurusan visa asing untuk membenarkan warga asing melanjutkan tempoh tinggal mereka di Malaysia secara haram.

Operasi haram itu dipercayai menjana keuntungan besar melalui rasuah dan transaksi tidak sah.

Rasuah sebanyak RM1.2 juta didakwa diterima untuk memanipulasi lanjutan permit tinggal bagi warga asing.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Difahamkan siasatan memberi tumpuan untuk menjejaki aliran dana dan mengenal pasti individu atau entiti lain yang terbabit dalam skim ini.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button