Akta Pengurusan Strata 2013 Akan Dipinda – Kor Ming
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk memgkaji pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa serta memperbaiki aspek pengurusan strata di negara ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata langkah itu bertujuan menyemak semula peruntukan undang-undang sedia ada termasuk memperkasakan peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC).
Usaha itu juga katanya akan dapat menangani isu pertindihan peruntukan undang-undang strata.
Menurut Nga, antara cadangan utama yang sedang dipertimbangkan ialah pemusatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di bawah satu jabatan atau agensi peringkat persekutuan.
“Langkah itu dijangka meningkatkan kecekapan pemantauan, namun ia tetap tertakluk kepada perundangan persekutuan dan negeri.
“Selain itu, struktur perjawatan COB di pihak berkuasa tempatan (PBT) turut akan dikaji semula dengan memanfaatkan sumber manusia sedia ada untuk meningkatkan keberkesanan tadbir urus dan kawal selia,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat di Dewan Rakyat hari ini.
Kor Ming menjelaskan, pindaan yang bakal dilaksanakan akan memberi perhatian kepada peranan dan tanggungjawab COB seperti yang dinyatakan dalam perundangan sedia ada, dengan tujuan memperbaiki aspek penguatkuasaan dan pengurusan strata.