Berita SemasaHiburan

Kim Raymond, bekas isteri Keith Foo peluk Islam

KUALA LUMPUR – Lengkap dalam persalinan busana serba hitam dihiasi selendang di kepalanya, foto yang memaparkan bekas isteri pelakon popular, Keith Foo iaitu Kim Raymond memeluk Islam disambut penuh kesyukuran oleh netizen.

Bahkan ada yang menyifatkan ia sebagai momen terindah apabila menyaksikan wanita jelita itu atau nama Islamnya Kim Amal Raymond melafazkan syahadah.

Difahamkan Kim memeluk Islam sebulan yang lalu di hadapan pendakwah terkenal, Datuk Sheikh Hussain Yee di Markas Al-Khadeem, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya.

Selepas bergelar saudara baru, Kim dilihat memeluk seorang wanita dalam foto yang dikongsi New Muslims Community.

“Alhamdulillah, dengan hidayah daripada Allah SWT, Kim Amal Raymond dari Malaysia memeluk Islam di Al-Khadeem pada 24 Oktober lalu. Ramai ahli keluarga dan rakan-rakannya hadir untuk menyaksikan majlis yang penuh barakah,” menurut perkongsian oleh New Muslims Community di media sosial mereka.

Bagi meraikan saat bermakna tersebut, komuniti berkenaan turut meminta orang ramai mendoakan agar urusan saudara baru mereka mendalami ajaran Islam dipermudahkan.

“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan menjadikannya seorang Muslim yang soleh serta beramal. Amin.

“Terima kasih kepada penaja Kit Muslim Baru kami yang indah oleh @zaahara.group untuk membantu saudara baru kami memulakan perjalanan mereka,” tulisnya.

Sebelum ini, Kim yang juga model terkenal tanah air pernah mendirikan rumah tangga dengan Keith pada 30 November 2015.

Bagaimanapun ketika pasangan itu mengumumkan perceraian mereka pada 24 Ogos 2020, Keith mendakwa dia sudah tidak sebumbung dengan Kim sejak 2017 lagi.

Hasil perkongsian hidup, Kim dan Keith dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar Raymond yang kini berusia 7 tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button