Beberapa NGO Melayu nyatakan hasrat sertai BERSATU?
CYBERJAYA – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu difahamkan sudah menyatakan hasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Menurut portal FMT hari ini, difahamkan, antara pertubuhan Melayu itu termasuk Berjasa, Putra dan Perkasa, dan memetik seorang pemimpin BERSATU yang tidak dinamakan, hasrat tersebut mendapat maklum balas baik daripada kepimpinan tertinggi parti.
Pemimpin itu turut memberitahu, beberapa siri perjumpaan telah berlangsung dan perbincangan ketika ini menyentuh mengenai kedudukan atau peranan akan diberikan kepada ketua NGO terlibat dalam BERSATU.
“Terdapat hasrat daripada beberapa NGO Melayu untuk menyertai kita, dan maklum balas parti sangat baik setakat ini.
“Di pihak BERSATU, kita sedang mempertimbangkan untuk memberi peranan besar seperti ahli jawatankuasa penerangan atau ahli MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) sesuai dengan kedudukan mereka sebagai ketua NGO,” kata pemimpin tersebut.
Pemimpin itu berkata, hasrat NGO berkenaan yang mahu menyertai BERSATU menunjukkan parti pimpinan Muhyiddin Yassin dipercayai dan diterima pelbagai pihak, berbanding parti Melayu lain.
Ditanya adakah penyertaan turut membabitkan Pejuang yang diketuai Mukhriz Mahathir, beliau berkata perkembangan baharu itu tidak berkait dengan sebarang parti.
“Tidak, tiada kaitan. Pejuang dulu mahu sertai Perikatan Nasional (PN), tetapi NGO ini mahu sertai kita (BERSATU)… kita percaya ia mampu mengukuhkan lagi pengaruh dan keahlian Bersatu di seluruh negara,” katanya.