KKM tidak benarkan beri kontrak tunggal kepada satu syarikat bekalkan insulin manusia
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil keputusan untuk tidak membenarkan hanya satu kontrak pembekalan insulin manusia diberikan kepada satu syarikat sahaja.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah tersebut adalah untuk memastikan keterjaminan dan mempelbagaikan sumber bekalan ubat itu.
Jelas beliau, keputusan itu diambil memandangkan syarikat luar negara, iaitu Biocon sebelum ini tidak mampu membekalkan ubat itu sehingga mengakibatkan bekalan insulin manusia dalam pasaran negara terjejas.
“Pengalaman kita dalam bulan Ogos yang lalu apabila berlaku kekurangan bekalan insulin manusia, walaupun tiada klinik-klinik kita yang pesakitnya tidak dapat insulin.
“Apa yang kita belajar daripada perkara ini adalah kita tidak boleh ‘letak semua telur dalam satu bakul’ bermaksud kita perlu pelbagai sumber (syarikat yang membekalkan insulin).
“Oleh sebab itu kita tidak akan membenarkan hanya satu kontrak pembekalan insulin manusia diberikan kepada sebuah syarikat dan akan pastikan sumber itu dipelbagaikan di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024 di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, dalam sidang Dewan Rakyat pagi tadi, Dzulkefly turut menyatakan bahawa KKM akan melihat alternatif ubat lain seperti agen antiglikemik contohnya insulin analog, meskipun harganya tiga kali lebih mahal berbanding insulin manusia.
Beliau berkata, pihaknya sedang berunding untuk memastikan bekalan insulin tidak terjejas lagi pada masa akan datang.