
89 ditahan dalam serbuan Imigresen Ops Gegar
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 89 individu termasuk warga asing dan tempatan berusia 23 hingga 58 tahun dalam serbuan Ops Gegar #KLStrikeForce di sebuah premis hiburan di sini.
Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi itu dilakukan selepas menerima aduan daripada orang ramai yang melaporkan aktiviti tidak bermoral di premis tersebut, termasuk penggajian pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Serbuan bermula sekitar pukul 12.45 tengah malam melibatkan 29 pegawai Imigresen Kuala Lumpur.
“Kami memeriksa 215 individu yang berada di premis terdiri daripada pelanggan dan pekerja,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu, hari ini.
Menurutnya, premis hiburan berkenaan turut dikesan menyediakan gadis pelayan warga asing melalui pembelian kalungan bunga berharga antara RM100 hingga RM5,000.
Wan Mohammed berkata, seramai 89 individu ditahan dalam operasi tersebut, terdiri daripada 61 wanita warga Thailand, 10 warga Vietnam, seorang warga Laos, enam lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga China.
“Tangkapan turut melibatkan sembilan warga tempatan, iaitu lapan lelaki dan seorang wanita, disyaki bekerja sebagai penjaga dan pengurus premis.
“Kesalahan yang dikesan termasuk tiada permit sah, penyalahgunaan permit, tinggal lebih masa dan melindungi PATI.
“Beberapa warga asing yang ditahan dipercayai memasuki Malaysia dengan pas pelancong tetapi bekerja secara tidak sah,” katanya lagi
Wan Mohammed turut berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Warga asing disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah, dan Seksyen 15 serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa.
Sementara itu, warga tempatan yang terlibat akan diambil tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E akta sama kerana melindungi PATI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















