Koleksi seni telepuk berusia ratusan tahun dipamer pada Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas
KUALA LUMPUR – Seni warisan Melayu adalah satu khazanah yang penuh dengan nilai, budaya dan sejarah, namun ia semakin terpinggir dan dilihat kian ditelan oleh arus perubahan zaman.
Begitu juga seni telepuk iaitu satu teknik menghasilkan motif dan ragam hias secara tradisional pada permukaan tekstil menggunakan perada emas.
Bagi mengangkat kembali seni warisan yang semakin ditelan zaman ini, Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Yayasan Hasanah telah menganjurkan Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas.


Pameran ini memperagakan sebanyak 49 koleksi tekstil telepuk, 130 koleksi sarang atau cap telepuk dan empat penerbitan berupa manuskrip dan buku.
Pameran eksklusif ini telah dibuka secara rasmi kepada orang awam bermula pada 28 Oktober hingga 31 Disember ini di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur.
Bagi Tokoh Kraf Negara, Norhaiza Noordin, 61, usahanya dalam menghidupkan kembali seni telepuk ini telah bermula sejak tahun 2014 lagi.
Ujar beliau, sambutan menggalakkan yang diterima dalam kalangan golongan belia membuatkan dia lebih bersemangat untuk menyebarluaskan ilmu seni telepuk.

“Motif-motif seni telepuk ini sering terinspirasi oleh alam, seperti bunga, daun dan fauna.
“Kalau kita tengok hasil takrifan orang Melayu ini sangat dahsyat kerana cara penyusunan motif-motif bunga itu sangat unik iaitu bunga bangsa Melayu yang tiada pada bangsa lain,” katanya.
Jelas Norhaiza, pemakaian corak bunga emas pada permukaan tekstil ini pada asalnya hanya boleh diperagakan oleh golongan raja dan kebiasaannya dipakai semasa istiadat tertentu.
“Kalau dahulu golongan raja sahaja yang boleh pakai, tapi kini orang ramai sudah boleh memperagakan pakaian yang terdapat seni telepuk padanya memandangkan Tanah Melayu telah dijajah,” jelasnya.
@malaysiatribune Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Tekstil Negara (MTN) dengan kerjasama Yayasan Hasanah telah menganjurkan Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas. Pameran eksklusif ini telah dibuka secara rasmi kepada orang awam bermula pada 28 Oktober sehingga 31 Disember 2024 di Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur. Telepuk merupakan salah satu teknik menghasilkan motif dan ragam hias secara tradisional pada permukaan tekstil menggunakan perada emas. #senimelayu #telepuk #muzium #malaysiatribune #muziumtekstilnegara
Sementara itu, Kurator Muzium Tekstil Negara, Salmiah Wati Djaafar mengalu-alukan orang ramai untuk hadir ke Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas memandangkan ia telah diadakan buat julung kalinya.
“Pengunjung akan dapat peluang merasai secara dekat dan menghayati bagaimana pemakaian golongan raja ketika dahulu menerusi koleksi-koleksi diraja yang dipamerkan.
“Antara koleksi yang menjadi tumpuan pada pameran ini, termasuklah Baju Kebaya Labuh milik Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta baju Melayu bertelepuk kepunyaan Sultan Selangor keempat, Sultan Sir Abdul Samad Sha,” katanya.


Pameran ini turut disemarakkan lagi dengan penganjuran beberapa program dan aktiviti kepada para pengunjung.
Antaranya ialah program perkongsian ilmu seperti program bicara@muzium dan webinar yang diadakan secara hibrid, bengkel dan demonstrasi telepuk.
Turut diadakan pertandingan lukisan seni telepuk, pertandingan produk seni telepuk dan aktiviti mingguan bagi kanak-kanak seperti DIY key-chain telepuk dan mari kenal telepuk.
Aktiviti-aktiviti ini khusus untuk memperkenalkan seni telepuk dan melahirkan artisan baharu yang mampu menghidupkan semula kesenian ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








