Berita SemasaBisnes & Ekonomi

National CEO Symposium 2025 persiapkan CEO, pembuat keputusan hadapi cabaran ekonomi

PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau pembuat keputusan dalam sesebuah syarikat perlu bijak dan strategik dalam membuat keputusan bagi menghadapi cabaran ekonomi pada tahun-tahun mendatang.

Justeru itu, Muslim Insiders Chamber of Commerce dan KNKV Group telah menganjurkan National CEO Symposium 2025 yang memberi fokus kepada sokongan kewangan, intelektual, kesedaran berkaitan keselamatan perniagaan serta prospek pasaran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Profesor Adjung Adam Shah Abdul Rahman, inisiatif ini direka untuk memberi panduan kepada para CEO untuk membuat keputusan yang lebih bijak.

Menariknya, simposium ini diadakan dengan kerjasama bank-bank utama serta organisasi terkemuka seperti CTOS, Great Eastern Takaful, OCBC Bank.

Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Profesor Adjung Adam Shah Abdul Rahman (tengah).

“Kami ingin membantu CEO dan pengurusan tertinggi menyiapkan diri bagi menghadapi cabaran ekonomi dengan lebih yakin.

“Untuk menyertai Simposium ini, peserta mesti merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau pembuat keputusan dalam syarikat yang mencatatkan jualan tahunan tidak kurang RM5 juta.

“Selain itu, syarikat tersebut perlu mempunyai rekod perniagaan yang bersih, serta mempromosikan mesej jenama yang positif,” katanya.

Pengerusi baharu KNKV Group, yang juga Senator Dewan Negara, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa.

Dalam pada itu, KNKV Group turut mengumumkan Senator Dewan Negara, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa selaku Pengerusi baharu mereka dalam usaha memberi nilai strategik kepada kumpulan itu.

Jelas Adam Shah, melalui pengalaman luas Zurainah, beliau mampu memperkukuhkan ekosistem perniagaan serta memperkasakan usahawan dan sektor korporat di Malaysia.

Katanya, inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kerjasama, malah ia juga diharapkan dapat memperkukuhkan daya tahan perniagaan di Malaysia.

“Dengan kerjasama dari pelbagai pihak, simposium ini dijangka menjadi platform utama bagi memperkukuhkan daya saing syarikat-syarikat Malaysia dan membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button