Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Banyak syarikat utama China tunjuk minat jadikan Malaysia rakan strategik

SHANGHAI – Banyak syarikat utama di China mahu memilih Malaysia sebagai rakan strategik di Asia Tenggara susulan perubahan global dalam rantaian bekalan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, selain rantaian global, dasar berkecuali Malaysia, tenaga kerja mahir serta dasar dan persekitaran mesra perniagaan juga menjamin kestabilan dan pertumbuhan buat mereka.

“Saya berikan jaminan kepada pemimpin-pemimpin industri bahawa Malaysia sentiasa bersedia memberi sokongan kepada pelabur dan rakan perdagangan menerusi sumber dan kestabilan yang diperlukan untuk perniagaan terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook selepas mengetuai delegasi Malaysia di Shanghai dengan mengadakan sidang meja bulat bersama pemimpin-pemimpin industri mewakili 24 syarikat utama di China.

Sidang meja bulat itu merupakan antara langkah diambil Perdana Menteri dalam misi menarik pelaburan ke Malaysia sempena lawatan kerja ke China selama empat hari hingga hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah membicarakan dan meneroka peluang-peluang pelaburan dan perdagangan di Malaysia dalam pelbagai sektor utama.

“Selama lebih satu jam, kami membicarakan dan meneroka peluang-peluang pelaburan dan perdagangan di Malaysia dalam pelbagai sektor utama.

“Ini termasuk semikonduktor, aeroangkasa, kenderaan elektrik, komponen automotif, peranti dan peralatan perubatan serta pusat inovasi telekomunikasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar serta delegasi Malaysia telah selamat tiba di Beijing dan dijadualkan akan meneruskan tugasan di China dengan mengadakan pertemuan bersama Presiden Xi Jinping.

Show More

Related Articles

Back to top button