130 motosikal di depot simpanan DBKL hangus
KUALA LUMPUR – Kira-kira 130 buah motosikal rentung sepenuhnya dalam kebakaran di depot simpanan kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught, di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 12.33 tengahari semalam.
Katanya, seramai 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dan BBP Cheras dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai kebakaran membabitkan deretan motosikal lama yang berada dalam depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik DBKL,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan dengan anggaran kemusnahan 100 peratus membabitkan 130 motosikal pelbagai model.
“Punca kebakaran itu masih dalam siasatan unit forensik,” katanya.