MCMC jalin kerjasama dengan USTDA, Austrade dan BHC
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalinkan kerjasama strategik dengan Agensi Pembangunan dan Perdagangan Amerika Syarikat (USTDA), Suruhanjaya Pelaburan dan Perdagangan Australia (Austrade) dan British High Commission (BHC) bagi memanfaatkan teknologi dan kepakaran maju dalam bidang perubatan.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, kerjasama itu bertujuan untuk merapatkan jurang dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran maju dari Amerika Syarikat, Australia, dan United Kingdom untuk meningkatkan kualiti penyampaian penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Malaysia.
“Kerjasama ini bertujuan untuk menangani cabaran penjagaan kesihatan yang semakin mendesak di masa hadapan. Ini termasuk peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan hipercholesterolemia, peningkatan populasi warga emas serta isu penjagaan kesihatan yang terhad di kawasan luar bandar.
“Perkhidmatan penjagaan kesihatan juga berdepan cabaran getir kerana demografi warga emas di Malaysia dijangka hampir menyamai populasi orang muda pada tahun 2040. Di kawasan luar bandar, infrastruktur yang tidak mencukupi dan kekurangan profesional perubatan melebarkan lagi jurang yang telah lama wujud,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu berlangsung acara Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 yang julung kalinya diadakan di Malaysia di Pavilion MCMC Future Healthcare Frontier di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
MIH Megatrends 2024 yang berlangsung dari hari ini hingga 27 Oktober ini dijangka menarik lebih daripada 4,000 peserta termasuk profesional kesihatan, peneraju industri, pegawai kerajaan, pelabur, dan orang awam yang akan meneroka trend terkini yang akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan.
Dalam pada itu katanya, pelancaran 5G oleh syarikat telekomunikasi membuka peluang untuk mengembangkan sektor teleperubatan dan mengintegrasikan peranti kesihatan boleh pakai, meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam transformasi penjagaan kesihatan global dengan syarikat telekomunikasi memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan ini.
Malah katanya, penglibatan USTDA, Austrade dan BHC akan mempercepat penerapan penyelesaian terkini, membawa kepakaran global untuk menggalakkan inovasi, merangsang pertumbuhan dan menarik pelaburan langsung asing.
“Usaha ini akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan terkemuka sambil memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan tempatan.
“Kemasukan peneraju penjagaan kesihatan antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia pula akan memacu kemajuan tempatan dengan memperkenalkan teknologi terkini melalui penyelesaian yang inovatif.
“Peningkatan kepakaran ini akan menggalakkan hospital swasta untuk meningkatkan perkhidmatan mereka, sekali gus menjadikan sektor penjagaan kesihatan lebih kompetitif di masa hadapan,” katanya.