Berita Semasa

Pendaki wanita maut dihempap pokok

KUANTAN – Seorang pendaki wanita maut selepas dihempap pokok tumbang ketika sedang tidur di dalam khemah di Kem Seputih, berhampiran Gunung Rajah, Kuala Tahan, Jerantut, semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, mangsa Wan Nurulhuda Mior Abdullah, 49, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan pada pukul 8.55 malam.

“Ketika kejadian mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggul dan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, kumpulan pendaki yang terdiri daripada 10 individu serta seorang malim gunung memulakan pendakian pada Isnin lalu dan dijangka turun semalam.

“Sekitar pukul 12 tengah hari pihak polis menerima maklumat bahawa mangsa telah dihempap pokok tumbang semasa tidur,” katanya lagi.

Operasi menyelamat melibatkan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan segera dan mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tindakan lanjut.

Zukri berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah bersiap sedia di Kuala Tahan bagi menyediakan bantuan melalui jalan darat sekiranya penggunaan helikopter tidak dapat dilaksanakan.

“Bantuan melalui darat menghadapi cabaran besar kerana perjalanan mengambil masa kira-kira dua hari untuk sampai ke lokasi, selain kawasan tersebut tidak mempunyai jaringan talian telefon,” katanya lagi.

Tragedi itu mengingatkan pendaki untuk sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan cuaca serta persekitaran semasa melakukan aktiviti di kawasan hutan atau pergunungan.

Show More

Related Articles

Back to top button