Anggota tentera maut terkena tembakan rambang: Khaled Nordin rakam ucapan takziah
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Korporal Petrus Linggi Anak Liman, anggota formasi 9 Briged, Sibu yang meninggal dunia dalam satu insiden tembakan rambang ketika Eksesais Pasak Bumi, semalam.
Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, Khaled berkata, beliau menzahirkan rasa dukacita dan turut mendoakan agar keluarga mendiang diberikan kekuatan dan kesabaran.
“Saya menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ini dan sama-sama kita didoakan agar keluarga mendiang diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan terberat ini,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Semalam, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan mengesahkan seorang anggota tentera dipercayai terkena tembakan rambang pemburu haram di Song, Sarawak, meninggal dunia selepas kira-kira lima jam bertarung nyawa.
“Ketika kejadian, mangsa sedang melaksanakan latihan di kawasan am Song membabitkan kawasan am Kanowit-Nanga Dap-Song dan berkekuatan satu kompeni.
“Pada hari kedua latihan, jam 2.45 pagi tadi ketika sedang berehat, platun terbabit mendengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap atau jalan balak berhampiran lokasi mereka berehat.
“Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan,” menurut kenyataan itu.
TDM memaklumkan, pemeriksaan perimeter dilakukan susulan bunyi tembakan itu dan mendapati mangsa cedera akibat tembakan berkenaan.
Katanya, mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada jam 4 pagi dan seterusnya dibawa ke Hospital Kapit kira-kira jam 5 pagi.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.45 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kapit.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, dilapor mengesahkan kejadian itu yang membabitkan mangsa berpangkat Koperal berusia 28 tahun.
Beliau dipetik berkata, kes itu masih dalam siasatan lanjut dan polis telah melancarkan gerakan memburu suspek.