Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pengarah syarikat disyaki minta, terima rasuah dari kontraktor direman SPRM

AYER KEROH – Seorang pengarah syarikat ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah sebagai balasan mendapatkan projek pembinaan sebuah rumah kediaman di negeri ini.

Perintah reman selama lima hari sehingga 23 September 2024 terhadap suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Khairulnisak Hasni selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi tadi.

Menurut sumber, suspek telah ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas menerima wang kira-kira RM3,000 daripada seorang kontraktor.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah meminta wang rasuah bernilai kira-kira RM60,000 daripada seorang kontraktor sebagai dorongan melantik syarikat kontraktor tersebut untuk membina sebuah rumah kediaman satu tingkat di sekitar negeri Melaka yang berjumlah kira-kira RM2 juta.

“Suspek juga disyaki telah mengugut pengadu sekiranya dia enggan membayar wang seperti yang diminta, pengadu tidak akan dilantik sebagai kontraktor untuk kerja tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button