MPM: Dakwaan Lawyers for Liberty perlu diteliti, disertakan bukti kukuh
KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menegaskan bahawa dakwaan yang dibangkitkan oleh Lawyers for Liberty (LFL) mengenai isu rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah perlu dinilai secara objektif berdasarkan fakta dan bukti yang sahih.
Pengerusi Biro Kepimpinan dan Pentadbiran Negara MPM, Shahbudin Embun berkata, terdapat beberapa percanggahan dalam kenyataan yang dibuat oleh pihak yang mendakwa menjadi mangsa rasuah, termasuk Datuk Albert Tei.
“Datuk Albert mendakwa bahawa beliau pernah diancam, namun persoalannya, adakah beliau pernah membuat laporan polis berhubung ancaman tersebut? Jika benar ada ancaman, laporan polis sepatutnya dibuat sebagai bukti sahih,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shahbudin, tindakan Datuk Albert menularkan video berhubung isu ini setelah gagal memperoleh lesen penerokaan mineral di Sabah menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar beliau.
“Beliau sendiri mengakui bahawa memberi rasuah adalah salah tetapi tetap melakukannya atas alasan ‘terpaksa’.
“Hakikatnya, beliau secara sedar menawarkan rasuah kepada ADUN-ADUN berkenaan, menunjukkan bahawa beliau bukan sekadar mangsa tetapi turut melanggar undang-undang,” katanya.
Tambah beliau, pendedahan yang dibuat oleh Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) baru-baru ini mendapati bahawa Datuk Albert memiliki 13 lesen penerokaan hasil bumi di Sabah, sekali gus menjadikannya individu yang berusaha memonopoli industri mineral di negeri itu.
Dalam pada itu, Shahbudin turut membidas dakwaan LFL bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan menyiasat kes ini, sedangkan SPRM hanya boleh bertindak berdasarkan bukti kukuh dan dokumen yang sahih.
“SPRM tidak pernah menyatakan bahawa mereka tidak mahu meneruskan siasatan. Sebagai mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya seharusnya memahami bahawa SPRM bertindak berdasarkan keputusan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), bukan tekanan politik atau media,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa video yang didedahkan oleh Datuk Albert telah disunting sebelum ia ditularkan di media dan SPRM hanya boleh bertindak terhadap bahan bukti yang tulen serta tidak dimanipulasi.
Dalam isu pemberian perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Shahbudin menegaskan bahawa peruntukan undang-undang jelas menyatakan sesiapa yang terlibat secara langsung dalam rasuah tidak layak menerima perlindungan tersebut.
“Jika benar Latheefa Koya berpendapat akta ini perlu diubah, mengapa beliau tidak mencadangkan pindaan ketika beliau mengetuai SPRM dahulu?” soalnya.
Shahbudin menggesa masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menerima maklumat yang disebarkan serta menilai setiap dakwaan secara objektif.
“Sekiranya Datuk Albert benar-benar berniat untuk membanteras rasuah, beliau sepatutnya tampil lebih awal ke SPRM dengan laporan rasmi dan menyerahkan video tulen sebelum ia disebarkan di media. Ini akan membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan adil,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang dakwaan mengenai rasuah perlu disertakan dengan bukti yang jelas dan tidak boleh dibuat berdasarkan persepsi semata-mata.
“Kita tidak mahu masyarakat terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas, sebaliknya harus berpegang kepada fakta yang sahih,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















