
567 terkandas feri Langkawi tersangkut di beting pasir
Tiga lagi feri dari Kuala Kedah terpaksa berpatah balik akibat ribut
KUALA PERLIS – Seramai 567 penumpang sebuah feri dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi terkandas di perairan Kuala Perlis selepas tersangkut di beting pasir akibat dilanda ribut, hari ini.
Sementara itu, tiga buah feri lagi dari Kuala Kedah ke Langkawi yang membawa 610 penumpang terpaksa berpatah balik ke terminal berikutan ombak kuat serta ribut.

Menurut Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom, feri yang terkandas berlepas dari Jeti Kuala Perlis pada pukul 2.30 petang.
“Feri yang membawa 567 penumpang itu dilaporkan tersangkut di tebing pasir kira-kira 0.5 batu nautika dari Terminal Kuala Perlis.
“Selepas ditiup angin kencang, ia menolak feri ke beting pasir menyebabkan feri itu terkandas.
“Usaha untuk membawa 567 penumpang yang terkandas di Kuala Perlis itu akan diteruskan pada pukul 8 malam ini sebaik saja air pasang,” katanya.
Mengenai tiga buah feri dari Kuala Kedah ke Langkawi yang berpatah balik ke terminal, beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keselamatan penumpang.
“Feri pertama iaitu pada pukul 1.30 petang membawa 120 penumpang.
“Manakala feri kedua pada pukul 2 petang membawa 149 penumpang dan feri ketiga pada pukul 2.30 petang yang membawa 410 penumpang terpaksa berpatah balik demi keselamatan penumpang,” katanya lagi.
Baharin barkata, penumpang tiga trip perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi itu sudah dipulangkan kos tiket dan ada yang menukar perjalanan tiket seterusnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







