BERITA SEMASA

Angin kencang, ribut petir dijangka landa utara Semenanjung dan Sabah mulai esok

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memberi amaran mengenai keadaan cuaca buruk yang bakal melanda utara Semenanjung dan barat Sabah bermula esok hingga 18 September ini.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, penumpuan angin dijangka berlaku di kawasan berkenaan dan berpotensi membawa ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang berterusan.

“Keadaan itu juga dijangka menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan serta Selat Melaka Utara sepanjang tempoh tersebut.

“MET Malaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa dari 13 hingga 18 September,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, cuaca ribut petir dan hujan lebat juga dijangka boleh berlaku di beberapa negeri lain sepanjang minggu ini.

MET Malaysia menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan perkembangan cuaca dan mendapatkan maklumat sahih melalui laman web rasmi di www.met.gov.my atau media sosial mereka. Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat terkini.

“Orang awam perlu mengambil langkah berjaga-jaga khususnya kepada mereka yang berada di kawasan terjejas dan juga komuniti maritim di perairan yang dijangka bergelora,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button