Berita Semasa

Kerajaan runding bawa pulang tujuh rakyat Malaysia ditahan di Filipina – Saifuddin

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang berunding untuk membawa pulang tujuh rakyat Malaysia yang telah ditahan selepas disyaki memasuki perairan Filipina Ahad lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang telah menerima maklumat daripada Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Victor Sanjos berhubung situasi itu.

Saifuddin berkata, pihaknya berharap akan ada hasil positif daripada rundingan itu dalam masa terdekat.

“Kita juga sudah mengenal pasti agensi pelancongan yang membawa mereka sehingga melepasi sempadan, selain akan menghubungi Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,” katanya memetik laporan Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah di Kelantan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dilaporkan berkata pihak berkuasa Filipina menahan tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China kerana disyaki memasuki perairan negara itu secara haram Ahad lalu.

Philippines News Agency melaporkan Pesuruhjaya Biro Imigresen Filipina, Norman Tansingco sebagai berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di selatan negara itu.

Katanya mereka yang tiada dokumen sah itu didapati memasuki Filipina dengan menaiki dua bot laju.

Difahamkan, kumpulan pelancong itu sedang bercuti di Semporna dan secara tidak sengaja memasuki wilayah Filipina ketika memancing di perairan Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button