SUKAN

Program Road To Gold tidak gagal tapi belum berjaya, kata Hannah Yeoh

SEPANG – Program Road To Gold (RTG) bagi menamatkan kemarau pingat emas Olimpik pertama negara disifatkan ‘tidak gagal’ sebaliknya ia belum menemui titik kejayaan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hannah Yeoh berkata, program RTG merupakan program jangka panjang yang meliputi dua temasya Olimpik iaitu di Paris pada tahun ini dan Los Angeles pada 2028.

“RTG adalah untuk dua Olimpik iaitu Paris dan Los Angeles. Selepas penubuhan RTG tahun lepas iaitu lebih setahun setengah, kita sasarkan untuk dapatkan (emas) dalam dua Sukan Olimpik ini.

“Kita belum berjaya mendapatkan pingat emas pertama dan seperti yang saya nyatakan pemegang taruh dalam RTG adalah atlet dan jurulatih kerana ini adalah sumbangan untuk mereka pertingkatkan peluang dapatkan pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Hadir sama, atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Datuk Azizulhasni Awang serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Mengulas mengenai kritikan segelintir pihak yang melabel program RTG kepada ‘Road to Gangsa’, Hannah berkata, pihaknya terbuka menerima kritikan namun apa yang lebih penting adalah pendapat daripada barisan kejurulatihan.

“Peminat sukan pelbagai dan semua orang akan rasa ada hak untuk memberikan kritikan dan yang itu kita menerima.

“Namun di peringkat ini, yang paling penting adalah pendapat pengarah teknikal, jurulatih kerana mereka lebih tahu yang itu yang lebih penting,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, walaupun tidak dapat menghadirkan pingat emas, atlet negara yang bertanding dalam Olimpik Paris telah menunjukkan peningkatan prestasi.

“Di Paris, kita dapat melihat tiga rekod kebangsaan dipecahkan oleh Azizulhasni, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, dan Aniq Kasdan (angkat berat), sementara Shah Firdaus Sahrom dalam berbasikal dan Syaqiera (Mashayikh) dalam memanah memecahkan rekod peribadi mereka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button