PM X

Putin undang Anwar bincang kerjasama ekonomi

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Russia, Presiden Vladimir Putin di Vladivostok dalam beberapa minggu lagi.

Perdana Menteri berkata, pertemuan tersebut adalah bagi memenuhi undangan Putin untuk membincangkan mengenai kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

“Beberapa minggu lagi saya akan ke Vladivostok, di pinggir Russia untuk menerima undangan Presiden Putin bagi berbincang soal kerjasama ekonomi.

“Ini meletakkan kita sebagai antara negara yang pertahankan pendirian kita yang bebas, dan tidak mengambil sikap untuk bermusuh dengan sesiapa.

“Prinsip kita adalah jelas, tetap pertahankan kebebasan, tolak kezaliman, tidak mengizinkan mana-mana negara kelompok menindas, menghina dan membunuh rakyat kita yang tidak berdosa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ibu Pejabat GXBank di ibu sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengingatkan supaya pemain-pemain industri menggunakan komponen digital bagi menjadikan sistem perbankan lebih terangkum.

Menurut beliau, Kerangka Ekonomi Madani mendambakan landskap ekonomi negara yang lebih saksama dan mampan, memerlukan kerelaan pihak swasta untuk membantu mengurangkan kesenjangan kekayaan.

“Dalam hal ini, segenap kumpulan masyarakat perlu diberi akses kepada evolusi perbankan digital ini dan tidak hanya khusus bagi golongan mahakaya,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memuji GXBank kerana menerima baik cadangan beliau untuk mendirikan pusat kecermelangan yang bertujuan untuk mencungkil bakat anak watan lantas membuktikan bahawa Malaysia mempunyai modal insan yang berkualiti.

“Secara jujur saya mengingatkan bahawa industri perbankan digital di Malaysia ini bukanlah peneroka awal di arena antarabangsa.

“Hatta, pemain-pemain industri ini perlu berkembang dengan lebih cepat untuk mengejar pesaing-pesaing di luar negara selari dengan era pasca normal,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button