Paris 2024: Pearly Tan-M.Thinaah berhadapan laluan berliku, diundi bertemu pasangan Korea Selatan
PARIS – Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah sekali lagi berhadapan laluan sukar selepas diundi pilihan kelapan kejohanan dari Korea Selatan, Kim So yeong-Kong Hee yong dalam suku akhir badminton Olimpik Paris 2024.
Andai menang dalam pertemuan itu, pasangan negara nombor 13 dunia itu akan berhadapan semula pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan di separuh akhir.
Pasangan beregu wanita nombor satu negara itu semalam membuat kejutan apabila menyingkirkan pemenang pingat emas Tokyo 2020, Apriyani Rahayu dan pasangan baharunya Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia
Sementara itu, Chen Qingchen-Jia Yifan diundi bertemu pasangan adik beradik dari Bulgaria, Gabriela-Stefani Stoeva.
Dalam satu lagi undian, pasangan dari China yang merupakan pilihan nombor tiga kejohanan, Liu Shengshu-Tan Ning akan berhadapan pilihan kedua dari Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee.
Satu lagi undian menyaksikan pilihan keempat dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida akan bertemu pasangan dari Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen.