Berita Semasa

Nurul Aishah Farhana hilang kali kedua

HULU SELANGOR – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang oleh bapanya selepas tidak pulang ke rumahnya di Taman Semarak, Batang Kali, sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangorr Dept. Supt. Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berusia 17 tahun, Nurul Aishah Farhana Azni kira-kira jam 12.42 tengah hari tadi.

Katanya kali terakhir mangsa dilihat di sebuah kedai makan Sakon Thai di Jalan Mahagoni 7/1A, Bandar Utama Batang Kali, semalam.

“Mangsa memakai tudung bewarna hitam, t-shirt kosong lengan panjang bewarna biru gelap dan berseluar hitam selain mengenakan sandal bewarna coklat cerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Asri mengulas lanjut, berdasarkan siasatan remaja tersebut telah dilaporkan hilang buat kali kedua.

“Namun, pada kali pertama yang berlaku Januari lalu, mangsa dikatakan pulang ke rumah dalam tempoh 24 jam.

“Difahamkan, mangsa tidak mempunyai sebarang pertelingkahan dengan ahli keluarga,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Muhammad Saiful Abdul Rahman di talian 03-60641222 atau tampil ke balai polis yang berdekatan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button