Keluarga dedah ada pihak cuba ambil kesempatan atas kehilangan Acap
CYBERJAYA – Keluarga peserta larian Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak tujuh tahun lalu, Mohamad Ashraf Hassan atau Acap mendedahkan terdapat pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan atas kesedihan dan harapan keluarga untuk mengesan mangsa.
Menurut abang Acap, Denny Leng dalam satu hantaran di Facebook, mereka pernah didekati individu yang mendakwa mampu mengesan keberadaan Acap namun meletakkan harga ribuan ringgit.
“Kenapa keluarga Acap tidak minta bantuan si polan? Kenapa tidak jumpa mereka ini untuk membantu? Ini tertib untuk minta bantuan.
“Pasti ayat-ayat ini sering didengar berlegar di mana-mana ruangan media. Seperti yang telah saya katakan, kami tidak tahu siapa yang boleh bantu kami dan tidak upaya untuk bertanya kepada semua orang,” katanya dalam hantaran tersebut.
Denny kemudiannya mendakwa, terdapat individu yang mengaku sebagai perawat meminta bayaran sehingga RM18,000 untuk membantu mengesan Acap.
Selain itu, katanya, ada juga pihak yang meminta wang beribu-ribu ringgit daripada keluarga selepas menceritakan kononnya kejayaan mereka membantu kes kehilangan lain.
“Ada yang minta buat kenduri di puncak bukit dengan kos anggaran RM6,000.
“Malah ada yang berkata, jika mahu jumpa adik saya, keluarga perlu mengupah mereka dengan bayaran RM3,000 untuk ‘imbasan’ awal dan RM13,000 lagi untuk proses seterusnya,” dakwanya.
Menurutnya, terdapat banyak lagi cubaan mengambil kesempatan terhadap keluarganya, namun mereka memilih untuk berdiam diri dan terus memberi tumpuan kepada usaha pencarian.
Denny turut mendedahkan bahawa Ketua Polis Daerah (OCPD) Kampar ketika itu pernah menghubunginya selepas mengesan beberapa cubaan pemerasan yang berlaku.
“Selepas berbincang dengan ahli keluarga dan mengambil kira keadaan kritikal ketika itu, kami membuat keputusan untuk tidak mendedahkan individu-individu tersebut kepada pihak berkuasa.
“Tidak semua, tetapi memang ada yang mengambil kesempatan,” katanya.
Kehilangan Acap,29, selepas menyertai larian Gopeng Ultra Trail di Bukit Batu Putih, Gopeng, Perak pada 23 Mac 2019 sehingga kini masih lagi menjadi misteri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















