Dewan Rakyat: Wan Ahmad Fayhsal digantung enam bulan
KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen selama enam bulan.
Penggantungan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu adalah susulan dakwaan yang dilemparkan ke atas penjawat awam Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan maklumat yang tidak disahkan.
Pada 1 Julai lepas, ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal telah menamakan seorang pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai ‘dalang’ rancangan penjualang pegangan Malaysia Airport Holdings Bhd.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said membawa usul menggantung Wan Ahmad Fayhsal di Dewan Rakyat hari ini.
Usul tersebut kemudianya mendapat sokongan 110 Ahli Parlimen, manakala 63 tidak bersetuju, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Usul itu antara lain menyatakan Wan Ahmad Fayhsal telah mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius dan bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan.
Menurut usul itu lagi, dengan membangkitkn surat itu serta kandungannya yang tidak disahkan, Wan Ahmad Fayhsal bukan saja memberi kesan buruk kepada individu tersebut tetapi kepada pegawai-pegawai lain ekoran tuduhan tidak berasas itu.
Usul itu turut menyatakan Ahli Parlimen ketika berbahas tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat siapa-siapa pegawai kerajaan kecuali tindakannya ketika melaksanakan tugas selaku penjawat awam.
“Yang Berhormat Machang telah mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius dan bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan.
“Maka dipersetujui Yang Berhormat Machang hendaklah digantung daripada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan selama enam bulan dari tarikh usul ini diluluskan,” kata Azalina di Dewan Rakyat hari ini.