Berita SemasaPM X

Kajian bagi DUN gubal undang-undang Islam perlu ditelitikan, elak kelemahan

PUTRAJAYA – Kajian mengenai Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) perlu dilakukan secara teliti bagi mengelakkan sebarang kelemahan yang ketara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara penelitian dilaksanakan termasuk merujuk kertas kajian tersebut kepada badan pakar perundangan Islam antarabangsa.

“Pada minggu lalu saya menghadap Pengerusi MKI yang baru, (Sultan Perak) Sultan Nazrin dan setuju dengan kerangka awal yang dibentangkan oleh jawatankuasa pakar dan disampaikan kepada (Menteri Agama) Mohd Na’im.

“Saya ucap terima kasih kepada beliau yang nampaknya menyegerakan proses ini dan Sultan Nazrin menyatakan kesediaan baginda untuk berbincang dalam mesyuarat (MKI) Ogos ini.

“Maknanya ada perubahan, kesediaan dan saya harap dari semua negeri, semua dalam kalangan melihat ini secara positif. Insya Allah Ogos ini, kita bentangkan.

“Namun berdasarkan perbincangan saya dengan Sultan Nazrin, sebaiknya diangkat kepada pihak antarabangsa, rujuk semula sebelum dirujuk kepada AGC. Kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu kerana soal Islam dan adat mesti mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya pada Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah, di sini hari ini.

Tegas Anwar, usaha penelitian itu bukan satu dalih untuk melengahkan atau meremehkan usaha yang lalu termasuk Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355), malah ia ditambah baik kerana terdapat beberapa kelemahan besar dalam peruntukan itu.

“Ia boleh dijadikan panduan serta diserasikan di antara kedudukan mahkamah syariah dan mahkamah sivil,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button