Rayuan pengampunan Najib: Penglibatan Anwar termaktub dalam Perlembagaan – Fahmi
KUALA LUMPUR – Penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam proses penilaian permohonan Pengampunan Diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah termaktub dalam Perlembagaan.
Perkara tersebut dijelaskan jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi dan Digital, penglibatan Anwar bukanlah atas kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri, namun portfolio Anwar menjaga Wilayah Persekutuan.
“Ada yang menimbulkan persoalan keberadaan PM dalam Lembaga Pengampunan tersebut tapi kita rujuk perkara 42 (11) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bagi Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) yang memutuskan Yang Di-pertuan Agong (YDPA) tapi seorang menteri.
“Kalau di negeri lain yang mewakili Menteri Besar atau Ketua Menteri tapi Wilayah Persekutuan ditugaskan untuk persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) yang bertanggungjawab keatas wilayah-wilayah persekutuan.
“Dalam konteks sekarang adalah PM sendiri, bukan beliau ingin tapi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Cahaya Ramadan anjuran Yayasan TM di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi petang tadi.
Jelasnya lagi, sesiapa sahaja boleh melakukan permohonan pengampunan diraja kerana perkara tersebut adalah berlandaskan undang-undang dan Perlembangaan Persekutuan.
“Mereka akan masuk permohonan, ada prosesnya, kita berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan juga apa-apa konvensyen sedia ada..
“Saya percaya kalau kita lihat Perkara 42 (1) beri kuasa penuh kepada YDPA untuk memutuskan dalam apa-apa keadaan, ada hukuman samada meluluskan atau mengurangkan hukuman, itu memang termaktub dalam Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya..
Semalam, Anwar mengesahkan beliau akan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam proses penilaian permohonan Pengampunan Diraja Najib Razak.