Kerajaan turun sewa premis perniagaan mulai bulan ini – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menurunkan kadar sewa premis perniagaan milik agensi kerajaan bermula bulan ini bagi mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi golongan peniaga kecil dan penjaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu melibatkan premis di bawah agensi kerajaan seperti MARA dan UDA Holdings Berhad.
Menurutnya, pengurangan kadar sewa akan diumumkan mengikut daerah dalam masa terdekat.
“Terkait keluhan kakak di Rawang, saya berikhtiar mencari kaedah untuk mengurangkan beban mereka mengikut keupayaan kita.
“Langkah pertama yang harus kita lakukan ialah mengurangkan kadar sewa kerana kebanyakan kedai ini dimiliki syarikat kerajaan atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA.
“Mulai bulan ini, kadar sewa akan dikurangkan di semua premis perniagaan dan ia akan diumumkan mengikut daerah dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media Krisis Bekalan Global, di sini hari ini.
Beliau turut menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri untuk mengambil langkah sama termasuk meneladani keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam isu tersebut.
“Saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari yang telah menyambut positif dan akan umumkan dalam masa terdekat menurunkan kadar sewa semua premis perniagaan terutama peniaga kecil, penjaja dan kedai-kedai premis makanan.
“Tentunya ini bidang kuasa PBT dan kerajaan negeri. Saya menggesa mereka menurunkan dengan kadar segera berkuat kuasa bulan ini untuk mengurangkan tekanan dan beban yang memang dihadapi oleh peniaga dan penjaja ini,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








