Dr Jezamine failkan cerai terhadap Harith Iskander
KUALA LUMPUR – Isteri pelawak terkenal, Dr Jezamine Lim, memfailkan cerai terhadap suaminya, Harith lskander Musa, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, laporan Mstar.
Dr Jezamine berkata, beliau mengesahkan bahawa permohonan cerai tersebut telah difailkan sekitar bulan Jun lalu.
“Betul, saya telah memfailkan cerai. Saya tidak ingat tarikh sebenar permohonan itu dibuat tetapi lebih kurang sebulan lalu. Saya belum ada sebarang komen. Mungkin nanti saya akan ceritakan,” katanya kepada pengamal media.
Katanya, beliau juga masih belum bersedia untuk mengulas lanjut mengenai isu rumah tangganya itu.
Harith, ketika dihubungi, turut memilih untuk tidak memberi sebarang maklum balas mengenai permohonan cerai berkenaan.
“Saya tiada sebarang komen tentang perkara itu,” katanya ringkas.
Terdahulu, Dr Jezamine mencuri perhatian apabila dilihat bergambar di hadapan dewan mahkamah dengan berpakaian jubah dan bertudung, ditemani peguam syarie, Datuk Akberdien Abdul Kadir.
Datuk Akberdien sebelum ini pernah mewakili beberapa artis popular dalam kes perceraian.
Sementara itu, Harith dan Jezamine telah mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, 9.