
Denda terhadap Selangor FC dikurangkan, pemotongan 3 mata dan larangan kemasukan penonton dibatalkan – MFL
KUALA LUMPUR – Denda yang dikenakan terhadap kelab Selangor FC oleh Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini diringankan selepas pertimbangan semula dibuat.
Menurut MFL dalam satu kenyataan, pertimbangan semula ini dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Keputusan-keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL ialah denda dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000.
“Bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL dikekalkan di mana MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun katanya, pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dibatalkan.
“Walaubagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan.
“Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibatalkan.
“Penonton dibenarkan untuk menghadiri perlawanan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu katanya, tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tiga hari daripada tarikh surat ini seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








