SUKAN

Liga Super: KL City benam Imigresen FC 3-0

BATU KAWAN – KL City FC membuka tirai kempen Liga Super 2025/2026 dengan penuh bergaya apabila menewaskan pasukan pendatang baharu, Imigresen FC (IFC) 3-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang, petang tadi.

Gol pembukaan skuad Warga Kota hadir pada minit ke-30 hasil jaringan sendiri kapten tuan rumah, Mohd Rizal Ghazali, yang tertampan bola ke gawang ketika cuba mengeluarkan hantaran Safawi Rasid kepada Paulo Josue.

Memasuki babak kedua, KL City terus mengukuhkan kedudukan apabila Safawi menanduk masuk sepakan percuma Manuel Hidalgo pada minit ke-56, selepas Hidalgo dikasari pemain gantian IFC, Thiha Zaw.

Kesengsaraan IFC bertambah pada minit ke-83 selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kekasaran Rafael Holstein dalam kotak penalti. Hidalgo yang mengambil sepakan penalti tenang merembat kencang untuk memastikan kemenangan mutlak 3-0 buat KL City.

Kejayaan ini menjadi permulaan positif buat anak buah Bojan Hodak yang berazam mencatatkan prestasi lebih cemerlang dalam saingan musim ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button