
Jurujual mengaku bersalah lakukan rompak bersenjata
KOTA BHARU – Seorang jurujual didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan terhadap seorang mangsa pada 8 April lalu.
Putera Anwar Aidil Mazlan, 24, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Tertuduh didakwa melakukan rompak berkumpulan bersama dua yang masih bebas dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu lawi ayam terhadap mangsa, 24, Muhammad Zhamaqsyary Mohd Zalkiman.
Jam tangan G-Shock, dompet, telefon bimbit dan motosikal Honda EX5 milik mangsa didakwa telah diambil dalam rompakan tersebut.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 10 malam berdekatan kawasan perkuburan Kampung Pauh Lima, Gunong, Bachok, 8 April lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama seksyen 397 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Edabayu tidak mencadangkan sebarang wang jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Julai depan untuk fakta kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















