Chegu Bard dilepas, dibebas tuduhan fitnah Agong
KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan berkaitan kenyataan didakwa memfitnah Yang di-Pertuan Agong.
Hakim membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Peguam Rafiq Rashid Ali berkata, keputusan itu diambil selepas mahkamah meneliti secara menyeluruh segala hujahan dan keterangan saksi sepanjang prosiding berlangsung.
“Mahkamah telah mendengar semua keterangan dan membaca hujahan kedua-dua pihak.
“Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Chegu Bard. Oleh itu, beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak pendakwaan mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan.
Sementara itu, Chegu Bard menzahirkan rasa syukur atas keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai kemenangan kepada prinsip keadilan serta kebebasan institusi kehakiman.
“Saya ucap syukur, alhamdulillah. Terima kasih kepada Yang Arif atas keputusan yang menunjukkan kebebasan sistem kehakiman negara,” katanya lagi.
Menurutnya, dalam suasana semasa, rakyat semakin bergantung kepada institusi mahkamah sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan.
Kes Chegu Bard menarik perhatian umum susulan dakwaan berkaitan institusi diraja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















