Sukan

Semua ‘wish list’ KBS ditunaikan PM – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana hampir kesemua ‘wish list’ KBS telah ditunaikan kerajaan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, setiap permohonan yang diangkat kepada Perdana Menteri telah diselesaikan dan ditunaikan, sekali gus menggalakkan negara dalam melahirkan lebih banyak bakal atlet.

Menurut Hannah Yeoh, antara inisiatif yang telah diluluskan adalah geran Padanan Sukan sebanyak RM50 juta yang banyak membantu Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

“Contohnya, RM1 juta disalurkan kepada Persatuan Sepak Takraw untuk tujuan kejohanan dan persediaan. Hasilnya, Malaysia muncul juara menumbangkan Thailand dalam Piala Dunia Sepak Takraw 2024 baru-baru ini,” katanya pada Majlis Anugerah Sukan Negara pada 13 Jun lalu.

Tambah Hannah Yeoh, pembangunan sukan atlet para juga menerima peruntukan sebanyak RM12 juta pada tahun ini berbanding RM10 juta pada tahun lalu.

Selain itu, katanya, peruntukan Program Podium dan Road to Gold juga meningkat daripada RM55 juta pada tahun 2023 kepada RM72 juta pada tahun 2024.

“Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) dengan tawaran gaji lebih menarik. Antara jawatan dan pendidikan tertentu boleh menikmati gaji bulanan mencecah RM9,500 berbanding RM4,500 sebelumnya.

“Seterusnya, pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk semua atlet dibawah Program Podium.

“Selain itu, pengenalan Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA) yang memastikan caruman oleh atlet dalam KWSP dan PERKESO serta Peningkatan jumlah elaun latihan atlet minimum RM800 kepada RM1,500 bagi yang baru memasuki program Podium,” katanya lagi.

Tambah Hannah, beliau berharap agar semua atlet negara menjadi sumber inspirasi kepada keluarga Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button