Kes Zayn Rayyan: Peguam mohon perintah larangan bersuara
PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen, di sini hari ini memutuskan hanya pihak terbabit prosiding pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matiin, terikat perintah larangan bersuara (gag order) supaya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kes tersebut.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh, selepas peguam mewakili bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin memohon orang ramai dikenakan perintah tersebut.
Menurut Fahmi, beliau meminta perintah itu supaya masyarakat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes terbabit kerana boleh membawa kepada subjudis.
“Saya percaya sebelum mereka (ibu bapa Zayn Rayyan) dituduh pagi ini, banyak kenyataan di media sosial dan mereka amat terkesan.
“Kami minta perintah larangan itu kepada masyarakat umum,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, kemudian menyerahkan permohonan itu kepada budi bicara mahkamah, namun mencadangkan tertuduh turut dilarang membuat sebarang hantaran berhubung kes itu di media sosial.
“Perintah itu terlalu umum, had kebebasan bersuara dinikmati oleh semua orang. Jika berlaku pelanggaran, apakah remedi yang boleh diambil dalam kes ini?
“Kalau ‘gag order’, kita ada kumpulan sasaran yang spesifik,” ujarnya lagi.
Terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan tidak mengaku salah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu, Disember tahun lalu.
Berikutan itu, Hakim, Dr Syahliza Warnoh memerintahkan pasangan suami isteri itu dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang sebelum dilepaskan.
Mahkamah menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.