BERITA SEMASA

Malaysia perkukuh hubungan diplomasi dengan China

BEIJING – Malaysia memperkukuhkan hubungan diplomasi dengan negara China bagi meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam kedua-dua negara, serantau dan global pada Mesyuarat Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan ke-5 (JWG Ke-5) di Kementerian Keselamatan Awam, di sini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, salah satu pencapaian utama mesyuarat tersebut adalah pemeteraian lanjutan Perjanjian Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan antara Malaysia dan Republik Rakyat China sehingga 2034.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bersama Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong, mempengerusikan Mesyuarat Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG Ke-5) di China.

“Mesyuarat tahunan ini adalah bukti hubungan akrab antara Malaysia dan China dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

“JWG Ke-5 merupakan forum perbincangan di bawah Perjanjian Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan antara Malaysia dengan China yang telah ditandatangani pada 2012 lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menekankan keakraban hubungan kedua-dua negara dapat menghasilkan keputusan yang monumental.

“Ini untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kedua-dua negara lebih terjamin serta memberikan kesan positif di peringkat serantau dan dunia,” tambahnya.

Katanya, mesyuarat JWG Ke-5 berjaya mencapai beberapa keputusan berimpak tinggi.

“Antaranya, perjanjian ini mencakupi lebih 15 bidang kerjasama seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah terhadap alam sekitar,” ujarnya.

Dalam pada itu, kedua-dua negara giat menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN + China + Gulf Cooperation Council (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial.

“Malaysia dan China bersetuju untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang dijangka memberi kelebihan kepada kedua-dua negara serta negara serantau dan global,” katanya.

Saifuddin turut menggesa akan segera memuktamadkan dokumen perjanjian dan kerjasama baru dalam aspek keimigresenan serta ekstradisi.

Ujarnya, perkongsian maklumat, pembangunan kapasiti, dan pertukaran penempatan pegawai turut dimeterai.

Katanya delegasi lawatan kerja Kementerian Dalam Negeri di China akan berlanjutan sehingga 10 Jun 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button