Ancaman bom di MOTAC, polis selesai ambil keterangan menteri
Beberapa lagi individu akan dipanggil bagi bantu siasatan
PUTRAJAYA – Pihak polis telah merakam keterangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing dalam siasatan mengenai ancaman bom di pejabatnya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya akan turut memanggil beberapa saksi lagi bagi dirakam keterangan dalam membantu siasatan.
“Kita sudah selesai merakam percakapan menteri (King Sing), namun kita akan memanggil beberapa saksi lagi bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor portal Sinar Harian.
Semalam, polis mengesahkan bungkusan yang dialamatkan kepada menteri berkenaan merupakan satu ancaman bom palsu.
A Asmadi dilaporkan berkata, pemeriksaan Unit Pemusnah Bom menggunakan dua ekor anjing pengesan dan peralatan teknologi, mengesahkan perkara tersebut.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, bungkusan berisi bahan letupan menyerupai bom itu dihantar menerusi syarikat kurier pada pukul 11.19 pagi semalam.
Bungkusan tersebut kemudiannya diambil dan dibawa naik ke tingkat 14 pada pukul 2.45 petang dan apabila dibuka, didapati mengandungi paip polyvinyl chloride (PVC), wayar dan ‘timer’.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Letupan dan Bahan Api 1957.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







