Jenayah & Mahkamah

Dua suspek serangan di kafe siber ditahan polis 

IPOH – Dalam tempoh kurang 24 jam, polis berjaya menahan dua daripada lima suspek yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah kafe siber di Buntong, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek yang ditahan masing-masing berusia 19 dan 20 tahun.

Beliau berkata, mangsa yang membuat laporan itu cedera akibat tikaman senjata tajam di lengan dan perut hingga menerima tujuh jahitan; manakala ada rakannya yang parah.

“Semasa pengadu bersama rakannya sedang bermain permainan komputer, mereka didatangi lima lelaki warga tempatan yang bertindak menyerang pengadu dan rakannya itu.

“Berikutan itu, pengadu dan rakannya mengalami kecederaan akibat diserang dengan pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh.

Terdahulu, pihaknya semalam mengesan satu video yang tular di media sosial mengenai kejadian tersebut yang berlaku pada Isnin lalu kira-kira pukul 10.15 malam.

Katanya, semakan mendapati laporan kejadian itu diterima dari seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun di mana dia dan beberapa rakannya cedera akibat diserang dengan pisau oleh lima lelaki semasa mereka sedang bermain permainan komputer di situ.

Pada masa ini, beliau memohon masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta menganggu siasatan.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil memberi keterangan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Izzat Ayob di talian 014-3218969 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Show More

Related Articles

Back to top button